YOUR EYE WILL NEVER LIE, KEEP IT OPEN TO SEE THE TRUTH...

Saturday, May 18, 2013

Dilemma ORANG ULU


Definasi Orang Ulu
ORANG ULU merupakan satu ungkapan yang digunakan bagi merujuk kepada kumpulan pribumi  yang terdiri dari pelbagai ethnic yang kebanyakannya mendiami kawasan pedalaman negeri Sarawak terutamanya dikawasan Hulu Sungai Baram dan Hulu Sungai Rejang. ORANG ULU bukannya merujuk kepada satu bangsa/ethnic tetapi ianya merangkumi pelbagai ethnic misalnya, Kenyah, Kayan, Berawan, Kelabit dan pelbagai sub ethnic yang lain. Mungkin diakibatkan kerana terlalu banyak ethnic yang berbeza dan majoritinya mendiami kawasan hulu sungai maka perkataan ORANG ULU digunakan bagi merujuk kepada kumpulan ethnic ini. Malah ungkapan “ORANG ULU” itu sendiri tidak pernah wujud Perlembagaan Malaysia.

Budaya / Amalan
Kebanyakan ORANG ULU, mendiami rumah-rumah panjang disepanjang Sungai Baram atau Sungai Rejang dan ditebingan anak-anak sungai yang mengalir kearah kedua-dua sungai ini. Masyarakat lelaki ORANG ULU amat terkenal dengan kemahiran mereka dalam menghasil ukiran berbentuk flora dan fauna serta mahir dalam kegiatan pengukiran kayu. Manakala masyarakat perempuan ORANG ULU pula terkenal dengan kemahiran menyulam manik dalam pelbagai corak. Maka tidak hairan jika anda melihat kebanyakan kediaman ORANG ULU terutamanya dirumah-rumah panjang dipenuhi dengan ukiran serta hiasan dari sulaman manik.

Selain dari memilikki kemahiran dalam bidang pengukiran masyarakat ORANG ULU juga amat terkenal dengan alat muziknya yang dikenali sebagai “sape”. Alat muzik ini biasanya dimainkan untuk mengiringi tarian tradisi yang dikenali senagai “sagak/ngivan/kajet.  Kemerduan “sape” serta kelembutan dan keunikan tarian “sagak/ngivan/kajet”  telah mengangkat nama ORANG ULU dipersada dunia.

Kegiatan Utama
Kegiatan utama masyarakat ORANG ULU adalah bercucuk tanam. Tanaman utama yang masyarakat ini usahakan adalah penanaman padi yang juga merupakan makanan utama bagi masyarakat ini. Selain itu, penanaman getah, kelapa sawit dan sebagainya juga diusahakan secara kecil-kecilan untuk menjana  pendapatan. Kegiatan seperti memburu serta menangkap ikan pula merupakan aktiviti sambilan yang dilakukan bagi menambah sumber makanan atau menambah sumber pendapatan. Masyarakat ORANG ULU bertuah kerana di”WARISI” dengan hutan yang tebal dan masih dipenuhi oleh binatang buruan serta sungai-sungai yang jernih yang masih menyimpan pelbagai spesis ikan.

Kepercayaan
Secara amnya, kebanyakan ORANG ULU menganut agama Kristian, namun begitu masih terdapat juga segelintir yang masih berpegang teguh dengan kepercayaan nenek moyang. Ekoran daripada perkahwinan campur yang semakin popular, ada juga segelintir masyarakat ORANG ULU yang telah memeluk agama lain selain dari Kristian misalnya agama Islam. Pada setiap musim perayaan terutamanya perayaan Hari Natal / Christmas, masyarakat ORANG ULU yang tinggal dibandar-bandar akan pulang kekampung halaman masing-masing bagi merayaikannya bersama keluarga serta sanak saudara yang lain yang ada dirumah panjang tanpa mengira kepercayaan masing-masing. Kepelbagaian kepercayan ini tidak menghalang masyarakat ORANG ULU merayai Hari Natal dibawah satu bumbung rumah panjang. Sikap hormat-menghormati diantara sama lain amat dititikberatkan. Pengamalan sikap inilah yang membolehkan masyarakat ORANG ULU hidup dalam rukun serta aman damai.
Dilemma Masyarakat ORANG ULU
Sebagai penduduk pribumi minoriti, serta menduduki kawasan pedalaman dan agak jauh dari pusat bandar atau pusat pentadbiran, masyarakat ORANG ULU tidak terlepas daripada pelbagai dilemma yang terpaksa mereka hadapi.

a. Isu kerakyatan
Disebabkan hubungan yang terhad dengan pusat pentadbiran, ramai kelahiran dalam masyarakat ORANG ULU yang tidak dapat didaftarkan dengan serta merta. Keadaan geografi serta kekurangan infrastruktur terutamanya jaringan jalan raya menyebabkan mereka tidak mampu untuk turun kebandar bagi mendaftar setiap kelahiran. Apatah lagi kos untuk berulang alik kebandar adalah amat tinggi. Akibatnya, peratusan kes pendaftaran lewat dalam masyarakat ORANG ULU adalah amat tinggi. Sehingga kini, masih ramai masyarakat ORANG ULU yang tidak mempunyai document pengenalan diri walhal mereka adalah penduduk asli bumi Sarawak.

b. Pendidikan
Ketiadaan document pengenalan diri yang sah akhirnya menyebabkan ramai dikalangan kanak-kanak ORANG ULU yang terpaksa melupakan hasrat untuk melanjutkan pelajaran ke bandar-bandar setelah menamatkan persekolahan sekolah rendah di rumah panjang.  
Kekurangan kemudahan yang disediakan disekolah-sekolah rendah yang diwujudkan dirumah-rumah panjang juga sedikit sebanyak menyumbang kepada kegagalan kanak-kanak ORANG ULU dalam bidang pendidikan. Senario ini, secara langsung membantut pertumbuhan peratusan warga berpendidikan dikalangan masyarakat ORANG ULU.

c. Kegiatan Pembalakan
Kemasukan kegiatan pembalakan yang kekawasan ORANG ULU telah sedikit sebanyak memusnah hutan yang selama ini merupakan khazanah yang mereka warisi sejak turun temurun. Kegiatan pembalakan ini bukan sahaja memusnahkan hutan yang menjadi tempat kediaman pelbagai binatang buruan mereka bahkan juga telah mencemari kejernihan sungai-sungai yang selama ini menjadi sumber air minuman serta sumber pembekal protein. Memang tidak dinafikan kegiatan pembalakan ini telah menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat ORANG ULU serta mampu menaik taraf kehidupan segelintir masyarakat, namun kegiatan ini yang tidak terkawal, telah meninggalkan kesan yang amat menyedihkan dalam kehidupan masyarakat ORANG ULU. Setelah kegiatan pembalakan berakhir, masyarakat ORANG ULU bukan hanya kehilangan pekerjaan, malah mereka juga turut kehilangan sumber hutan serta sungai yang selama ini memberikan mereka sumber tambahan bagi menampung keperluan seharian

d. Kemudahan asas
Secara amnya, penempatan ORANG ULU terlalu jauh ketinggalan dari segi kemudahan asas, seperti bekalan elektrik, bekalan air bersih, telekomunikasi, jaringan jalanraya, kemudahan kesihatan serta pendidikan. Kebanyakan perkampungan ORANG ULU masih lagi tidak mempunyai bekalan elektrik, air bersih mahupun jaringan telekomunikasi yang baik, apatah lagi jalanraya berturap. Kebanyakan jalanraya yang diguna pakai untuk menghubungi sesebuah perkampungan adalah merupakan jalan “EHSAN” daripada syarikat pembalakan yang telah datang dan pergi setelah “merogol” segala khazanah hutan ORANG ULU. Namun keadaan kebanyakan jalanraya ini adalah sangat tidak sesuai untuk kegunaan awam. Kebanyakan penempatan juga tidak mempunyai kemudahan kesihatan seperti klinik. Sekolah-sekolah pula kebanyakannya tidak mempunyai keperluan pembelajaran yang lengkap.

e. Peluang pekerjaan
Selain dari bercucuk tanam serta berburu yang menjadi amalan tradisi masyarakat ORANG ULU, peluang untuk mereka mendapat pekerjaan sangat terhad. Peluang pekerjaan yang kebanyakannya hanya ditawarkan dibandar-bandar, serta kekurangan informasi  menyebabkan kebanyakan masyarakat ORANG ULU sering tertinggal dalam perebutan pengisian jawatan kosong.  Memang tidak dinafikan bahawa dewasa ini, terdapat segelintir masyarakat ORANG ULU yang menjawat jawatan awam dan tidak kurang pula yang bekerja dengan syarikat-syarikat swasta dibandar namun peratusannya masih terlalu kecil.

f. Penghijrahan
Keterbatasan peluang pekerjaan serta kekurangan infrasturktur menyebabkan golong muda masyarakat ORANG ULU kini lebih gemar meninggalkan kampung halaman untuk mencuba nasib hidup dibandar-bandar. Golongan ini lebih gemar mencari pekerjaan di bandar-bandar berbanding meneruskan amalan tradisi bercucuk tanam atau berburu. Ini mungkin ada hubungkaitnya dengan kesan kemasukan kegiatan pembalakan yang telah menyebabkan kebanyakan tanah untuk bercucuk tanam menjadi tidak subur, serta kemusnahan hutan dan pencemaran sungai. Oleh itu, hari ini kita dapat melihat kewujudan masyarakat ORANG ULU bekerja dibandar-bandar seperti Miri, Bintulu, Sibu atau Kuching bahkan sehingg ke semanjung demi untuk meneruskan kehidupan. Penghijrahan golongan muda ini bukan hanya secara tidak langsung akan melenyapkan amalan serta budaya tradisi masyarakat ORANG ULU bahkan juga menyebabkan Tanah Adat (NCR) yang mereka warisi kebanyakan menjadi tanah terbiar.

Permasalahan Tanah Adat (NCR)
Seperti penduduk pribumi yang lain diSarawak, kehidupan setiap masyarakat ORANG ULU tidak dapat dipisahkan dari TANAH ADAT, ianya ibarat isi dan kulit. Tanah Adat (NCR) ialah satu-satunya harta keluarga yang diwariskan dari satu generasi ke satu generasi dalam masyarakat ini. Ianya merupakan satu khazanah dari hasil keringat orang-orang tua yang terdahulu yang harus dipertahankan.  Namun sejak kebelakangan ini, pelbagai kegiatan dengan berlandaskan pembangunan mulai mengorak langkah memasuki kawasan TANAH ADAT masyarakat ORANG ULU.

a. Kegiatan perladangan
Jika kegiatan pembalakan telah meninggalkan kemusnahan kepada khazanah hutan serta pencemaran sungai-sungai, kedatangan kegiatan perladangan terutamanya perladangan sawit pula dilihat sebagai sesuatu yang boleh menyebabkan masyarakat ORANG ULU kehilangan hak ke atas TANAH ADAT yang selama ini mereka miliki. Kemasukan syarikat-syarikat perladangan ini yang kebanyakannya bermodal besar bukan hanya membuka kawasan perladangan ditanah-tanah simpanan kerajaan tetapi kebanyakannya melibatkan TANAH ADAT masyarakat ORANG ULU. Majority masyarakat ORANG ULU menolak kemasukan syarikat-syarikat perladangan ini kerana mereka beranggapan, seandainya syarikat-syarikat ini diberi peluang itu bermakna mereka melepaskan hak mereka keatas TANAH ADAT.Walaupun terdapat inisiatif untuk memperkenalkan system perkongsian diantara syarikat perladangan dengan penduduk tempatan (JVC), ianya tidak dapat meyakinkan kaum ORANG ULU dan mereka tetap meragui keberkesanan system tersebut. Maka tidak hairan jika dewasa ini kita sering mendengar kes berkenaan pencerobahan oleh syarikat-syarikat perladangan keatas TANAH ADAT masyarakat ORANG ULU banyak difailkan dimakhamah

b. Pembinaan Empangan
Selain daripada kegiatan perladangan, masyarakat ORANG ULU juga perlu berhadapan dengan satu lagi isu besar yang melibatkan hak TANAH ADAT iaitu isu pembinaan empangan. Kalau masyarakat ORANG ULU diHulu Sungai Rejang telah akur dan terpaksa berpindah dari kampung halaman mereka demi memberi laluan kepada pembinaan empangan Bakun, kini penduduk diHulu Baram pula yang berhadapan dilemma yang serupa. Rancangan pembinaan empangan Baram oleh kerajaan negeri Sarawak akan mengakibatkan tidak kurang dari 20,000 masyarakat ORANG ULU dari perkampung Kenyah serta Kayan diHulu Baram terpaksa dipindahkan…………akan kehilangan TANAH ADAT mereka, bahkan mereka juga akan terpaksa meninggalkan kampung halaman masing-masing ketempat pemindahan yang akan disediakan oleh kerajaan.

Rata-rata masyarakat ORANG ULU yang terlibat membantah rancangan pembinaan empangan ini. Pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak yang terlibat agar rancangan pembinaan empangan ini dibatalkan. Keengganan mereka memang berasas, kerana jika diambil pembinaan empangan Bakun sebagai contoh,ianya ternyata tidak memberi apa-apa kebaikan kepada mereka. Selain dari tidak mendapat manfaat, mereka beranggapan, pembinaan empangan Baram akan menyebabkan kerosakan kekal terhadap ekologi tanah, sungai serta kesan pencemaran lain. Sehingga kini, rancangan pembinaan empangan Baram masih ditentang keras oleh pihak yang tidak merestui pembinaannya. Bagi pihak ini, pembinaan empangan Baram memberi lebih banyak impak negative dari positive.

Pandangan Kerajaan
Dari sudut pandangan kerajaan, kegiatan perladangan serta pembinaan empangan Baram adalah merupakan satu usaha “pembangunan” oleh kerajaan untuk memajukan kawasan Baram terutamanya untuk kemajuan masyarakat ORANG ULU itu sendiri. Kegiatan perladangan dan kewujudan empangan Baram dikatakan akan menjadi pemangkin untuk menjana ekonomi khususnya dikawasan Hulu Baram. Kegiatan perladangan serta pembinaan empangan Baram ini juga dikatakan dapat mengatasai masalah peluang pekerjaan yang terhad dikalangan masyarakat ORANG ULU serta secara tidak langsung dapat memperbaiki pelbagai kemudahan mislanya jalanraya yang baik kekawasan Hulu Baram yang sememangnya jauh ketinggalan dari segi kemudahan asas berbanding kawasan lain. Oleh itu pihak kerajaan menyeru agar masyarakat ORANG ULU melihat kedua-kedua kegiatan iaitu perladangan dan pembinaan empangan Baram dari sudut yang positif.

Perpecahan Dalam Masyarakat Orang Ulu.
Perbezaan pandangan mengenai isu pembinaan empangan Baram khusus menyebabkan masyarakat ORANG ULU menjadi keliru. Walaupun ramai suara yang membantah, namun kedengaran juga suara-suara yang bersetuju. Keadaan ini secara tidak langsung membahagikan masyarakat ORANG ULU kepada 2 golongan, iaitu golongan yang pro pembinaan empangan Baram serta golongan yang menentang pembinaannya. Ketidaksamaan ideology menjadi semakin rumit apabila isu pembinaan empangan Baram dikaitkan dengan politik. Golongan yang menentang dikatakan menyokong Pakatan Rakyat manakala yang pro pula dianggap sebagai penyokong kuat Barisan Nasional.

Keadaan ini dapat dilihat dengan jelas pada PRU13 yang baru sahaja berlalu. Pihak Pakatan Rakyat menggunakan isu pembinaan empangan Baram sebagai isu utama semasa berkempen. Impak negative yang bakal dihadapi oleh penduduk Baram secara amnya.  Namun dipihak Barisan Nasional pula, kebaikan pembinaan empangan ini terus ditekankan, malah pernah suatu ketika seorang wakil rakyat dari Barisan Nasional yang menyifatkan rancangan pembinaan empangan Baram sebagai anugerah dari Tuhan. Sedar tak sedar perbezaan pendapat  ini melahirkan bibit-bibit perpecahan didalam masyarakat ORANG ULU.

Kebangkitan Masyarakat Orang Ulu
Masyarakat ORANG ULU boleh dikatakan diantara para pengundi yang sentiasa berdiri teguh dibelakang Barisan Nasional namun setelah tercetusnya isu rancangan pembinaan empangan Baram oleh kerajaan negeri Sarawak yang diterajui oleh Barisan Nasional ini, keadaan ini sedikit sebanyak telah berubah. Ini terbukti daripada keputusan dalam perebutan kerusi Parlimen Baram pada PRU-13 yang baru sahaja berlalu.  Walaupun Barisan Nasional berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Baram namun majority undi yang diperolehi adalah amat sedikit. Kemenangan Barisan Nasional juga banyak dikaitkan dengan kes-kes penyelewangan atau penyalahgunaan kuasa ketika berkempen dan membuang undi.

Namun dari pandangan peribadi saya, Pakatan Rakyat telah memenangi pilihanraya ini, terutamanya dikawasan yang terkena tempias oleh rancangan pembinaan empangan Baram. Kawasan Parlimen Baram mempunyai 2 kawasan DUN iaitu Marudi dan Telang Usan. Kawasan yang terkena tempias secara langsung dari pembinaan empangan ini nanti ialah penduduk yang mendiami kawasan DUN Telang Usan. Menurut hemat saya, 192 majoriti undi yang diperolehi oleh Barisan Nasional datangnya dari DUN Marudi, manakala di DUN Telang Usan, calon Pakatan Rakyat memperolehi lebih banyak undi berbanding calon Barisan Nasional. Oleh yang demikian, saya mengatakan, keputusan PRU-13 yang hanya melibatkan kerusi Parlimen tidak boleh dijadikan ukuran untuk menyatakan persetujuan majority masyarakat ORANG ULU diBaram dengan rancangan pembinaan empangan ini.

Kalau diimbas atau dibandingkan dengan keputusan-keputusan pilihanraya parlimen yang terdahulu, keputusan PRU13 jelas menunjukkan kebangkitan masyarakat ORANG ULU dalam usaha untuk mempertahankan TANAH ADAT serta sungai-sungai mereka daripada tenggelam didasar empangan jika pembinaan empangan ini benar-benar terjadi.  Kalau selama ini masyarakat ORANG ULU sentiasa menyokong kerajaan serta mensyukuri apa yang dilakukan oleh kerajaan, kini mereka nampaknya cuba bangkit untuk mempertahankan HAK mereka sebagai ORANG ULU.

Hala Tuju ORANG ULU…
Persoalannya, adakah ORANG ULU yang membantah rancangan pembinaan empangan Baram ini tidak menginginkan pembangunan seperti yang diwar-warkan oleh pihak kerajaan? Atau adakah mereka ini tidak menginginkan infrastruktur yang baik, misalnya jaringan jalanraya yang berturap, bekalan electric dan air bersih 24 jam, sekolah serta klinik yang lengkap? MUSTAHIL jika ada yang tidak menginginkan semua ini. Selama ini pun, masyarakat ORANG ULU sentiasa menagih simpati/janji kerajaan agar menyediakan semua kemudahan ini selaras dengan slogan kerajaan iaitu Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Kehilangan hak keatas TANAH ADAT akan memberikan impak yang sangat besar dalam kehidupan masyarakat ORANG ULU. Mana tidaknya sebagai masyarakat yang bergantung hidup dengan bertani secara kecil-kecilan kehidupan mereka banyak bergantung kepada TANAH ADAT. Kehilangan TANAH ADAT umpam kehilangan pekerjaan tetap. Walaupun kerajaan berjanji akan memberikan tanah sebagai pampasan, namun ianya bukan hanya dianggap kecil dan tidak subur, malah ini bermakna mereka harus bermula lagi dari A sehingga Z.

Akibatnya, penghijrahan kebandar-bandar mungkin akan bertambah demi mencari satu kehidupan yang lebih selesa. Namun diakibatkan semua permasaalahan yang telah dihuraikan diatas seperti ketiadaan document serta kekuranganpendidikan menyebabkan mereka kurang berdaya saing dalam perebutan peluang pekerjaan…..

Keadaan-keadaan ini menyebabkan masyarakat ORANG ULU merasa tersepit ditengah-tengah dan keliru dengan hala tuju yang seterusnya, ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapa.

KESIMPULAN..
Kesimpulannya, ORANG ULU tidak pernah menolak pembangunan. TETAPI, walaupun mereka memerlukan pembangunan, mereka juga memerlukan “kehidupan” mereka, iaitu kehidupan yang berkait rapat dengan TANAH ADAT dikekalkan . Mereka akan menolak apa juga bentuk pembangunan yang akan melenyapkan “kehidupan” mereka ini……

Sebagai penduduk pribumi minoriti, masyarakat ORANG ULU seharusnya duduk bersama dan mencari penyelesaian bagi isu-isu yang melanda masyarakat ini tanpa mengira kepentingan diri, fahaman politik ataupun agama. Seandainya isu perbezaan ideologi atau bibit-bibit perpecahan ini tidak dapat diatasi, saya rasa tidak mustahil suatu masa nanti istilah ORANG ULU akan lenyap bersama angin yang berlalu……………….

NOTA: Penulisan ini berlandaskan pandangan peribadi saya terhadap permasaalahan komuniti ORANG ULU dalam menghadapi era kemodenan / pembangunan. Para pembaca mungkin mempunyai pandangan yang berbeza, justeru komen yang membina amat dialu alukan.

betul

No comments:

Post a Comment