YOUR EYE WILL NEVER LIE, KEEP IT OPEN TO SEE THE TRUTH...

Friday, June 07, 2013

Tragedi 28th May 2013

Tanggal 28th May 2013 mencatat satu lagi sejarah hitam dibumi bertuah Sarawak. Tak kala penduduk Dayak Sarawak bersedia untuk menyambut perayaa Hari Gawai Dayak yang jatuh pada 1th Jun, tragedi boat express karam di Belaga yang telah mengorbankan beberapa nyawa mengejutkan penduduk seluruh Sarawak.

Boat express milik syarikat Kawan Mas dilaporkan membawa penumpang yang mencecah 200 orang lebih daripada muatan yang sepatutnya iaitu sekitar 67 penumpang telah karam dikawasan Jeram Tukok/Jeram Bungan yang terletak kira-kira 40minit perjalanan dari Belaga. Menurut laporan tak rasmi, seramai 181 penumpang Berjaya diselamatkan manakala dianggarkan kira-kira 21 penumpang masih hilang dan dikhuatiri maut. Angka sebenar penumpang sukar diperolehi kerana ketiadaan rekod penumpang.

Tragedi ini menjadi isu hangat disepanjang musim menyambut perayaan Hari Gawai Dayak 2013. Orang ramai mempunyai pelbagai spekulasi tersendiri bagaimana tragedi sedih ini boleh berlaku. Walaupun menurut keterangan dari mangsa yang terselamat ianya berlaku ketika boat express berkenaan gagal mengelak kayu balak yang terapung yang menyebabkan boat express berkenaan hilang kawalan dan terlanggar batu didalam sungai, orang ramai kebanyakannya memberikan tiga sebab dibawah sebagai punca kemalangan ini berlaku,

1.     Kerakusan Pengusaha Boat Express Mengaut Keuntungan
2.     Kegagalan Pihak Lembaga Sungai Sarawak Dalam Menjalankan Tugas
3.     Kealpaan Penumpang Tentang Aspek Keselamatan
4.     Penunggu Jeram Bungan

Kerakusan Pengusaha Boat Express Mengaut Keuntungan
Kerakusan pengusaha boat express untuk menjana keuntungan lebih-lebih setiap kali menjelang musim perayaan memang tidak dapat disangkal. Walaupun mereka sudah menjangka pertambahan penumpang terutamanya dimusim-musim perayaan, mereka biasanya tidak akan menambah jumlah boat express untuk mengelak daripada mengeluarkan kos yang lebih. Mereka lebih gemar untuk mengaut sebanyak mungkin keuntungan apatah lagi dimusim perayaan dimana permintaan untuk pengangkutan boat express bertambah berlipat ganda. Tanpa memikirkan isu keselamatan penumpang, para pengusaha boat express akan tanpa rasa bersalah akan memuatkan sebanyak mungkin penumpang untuk mengaut keuntungan.

Kegagalan Pihak Lembaga Sungai Sarawak Dalam Menjalankan Tugas
Pihak Lembaga Sungai Sarawak yang diberikan amanah bagi memastikan para pengusaha boat express untuk mematuhi setiap peraturan yang sedia ada juga didapati gagal dalam menjalankan tanggungjawab mereka. Para pegawai Lembaga Sungai Sarawak seharusnya memantau setiap pergerakan boat express dan memastikan para pengusaha boat express tidak membawa penumpang melebihi had yang ditentukan. Sebagai contoh, boat express yang malang ini dikatakan membawa penumpang sehingga 200 orang walhal boat express ini Cuma berkapasiti 67 orang. Kebanyakan penduduk Sarawak mengaikan kegagalan pihak berkuasa memantau keadaan ini kepada gejala rasuah.

Kealpaan Penumpang Tentang Aspek Keselamatan
Terdapat juga pihak yang mengaitkan sikap sesetangah penumpang yang tidak mengendahkan aspek keselamatan juga merupakan penyumbang kepada tragedi malang ini. Walaupun mereka mengetahui bahawa boat express ini telah melebihi muatan, mereka tetap sanggup menaiki boat berkenaan malah sanggup untuk duduk dibahagian bumbung.

Penunggu Jeram Bungan
Selain daripada 3 faktor diatas, terdapat sebilangan penduduk yang masih mempercayai kepercayaan lama mengaitkan tragedi ini dengan alam ghaib. Tragedi ini dikatakan terjadi akibat kemarahan “penunggu” yang memdiami kawasan Jeram Bungan. Malah perkhidmat juga telah digunakan ketika operasi untuk membawa semula bangkai boat express ini ke permukaan sungai. Sejauh manakah kebenaran faktor ini, tergantung kepada penilaian para pembaca.

Kegagalan Kerajaan
Faktor 1 hingga 3 mungkin sedikit sebanyak menyumbang kepada terjadinya tragedi ini, namun secara peribadi saya tidak menganggap ketiga-ketiga faktor ini merupakan faktor utama apalagi faktor 4 yang memang sukar dipercayai dialaf ini. Bagi saya, KEGAGALAN KERAJAAN adalah faktor paling utama yang mengakibatkan tragedi ini berlaku. Setelah diberi mandat lebih dari 50thn memerintah Sarawak, kerajaan pimpinan Barisan Nasional masih gagal menyediakan kemudahan jalanraya yang dapat menghubungkan kawasan pedalaman Sarawak dengan kawasan Bandar. Ketiadaan jaringan jalanraya menyebabkan kebanyakan penduduk dikawasan pedalaman bergantung 100% kepada perkhidmatan boat express. Keterbatasan dalam jumlah perkhidmatan boat express lebih-lebih lagi dimusim perayaan menyebabkan kebanyakan penduduk yang ingin pulang kekampung halaman masing-masing terpaksa mengenepikan soal aspek keselamatan dan sanggup mengambil risiko menaiki boat express yang bermuatan melebihi had yang dibenarkan. Sekali lagi kerajaan melalui agensinya yang bertanggungjawab dalam persoalan ini gagal melaksanakan tugas yang diamanahkan kepada mereka. Agensi kerajaan yang bertanggungjawab seharusnya bukan hanya memantau pergerakan boat-boat express ini bahkan seharusnya cuba berunding dengan pihak pengusaha boat express dan menggesa mereka untuk menambah jumlah perjalanan bagi menampung permintaan yang meningkat lebih-lebih lagi ketika ketibaan musim perayaan.

Kesan Tragedi 28th May 2013
Ekoran daripada tragedi ini, Ketua Menteri Sarawak telah mengeluarkan satu kenyataan bahawa kejadian serupa tidak akan berulang lagi. Namun tidak pula dinyatakan dengan jelas apakah langkah yang akan diambil untuk memastikan perkara serupa tidak akan berulang lagi dimasa akan datang, walhal ini bukanlah tragedi pertama yang melibatkan kemalangan boat express di Sarawak. Pada tahun 2010, kejadian serupa telah terjadi di Tubau apapila sebuah boat express karam akibat terlanggar tongkang dan mengakibatkan kehilangan 13 nyawa.

Sementara itu, Perdana Menteri Malaysia pula, mengarahkan siasatan agar siasatan rapi diadakan bagi mengenal pasti punca kejadian. Bukan nak mengatakan nasi dah menjadi bubur, tetapi inilah trend Malaysia, setiap kali apabila berlakunya tragedi seumpama ini, pihak-pihak tertentu akan melaungkan agar siasatan rapi dibuat bagi mengenal pasti punca kejadian, namun sayangnya, setelah punca kejadian dikenal pasti, tiada pula tindakan susulan yang dilakukan. Apakah ini sekadar untuk “menyedapkan” hati mangsa-mangsa yang terlibat.

Ekoran kejadian ini juga, kerajaan mengumumkan akan membina jalanraya badi menghubungi daerah Kapit ke Sibu dibawah program Samudera Biru yang akan dikendalikan oleh pihak tentera. Jalanraya yang dianggarkan sepanjang 400km ini dijangka akan menelan belanja dalam lingkungan RM600 ke RM800 juta. Jelas kos perbelanjaan pembinaan jalan ini jauh lebih rendah dari pembinaan empangan Bakun yang mencecah angka billion, malah kalau betul seperti yang dilaporkan, kos BN untuk mememangi PRU-13 jauh tinggi iaitu mencecah 58billion.

Kesimpulan
Sebagai sebuah kerajaan yang telah diberi mandat selama lebih 50thn, kerajaan Sarawak pimpinan Barisan Nasional seharusnya memandang serius akan kejadian ini apatah lagi mandat yang mereka perolehi kebanyakannya dating dari masyarakat pedalaman. PRU-13 yang lepas membuktikan bahawa pengundi dari kawasan pedalaman merupakan faktor kemenangan BN khususnya di Sarawak. Kesemua kerusi luar Bandar dimenangi oleg BN, begitu juga pada pilihanraya yang lepas-lepas. Pihak kerjaan khususnya BN tidak mengabaikan “kesetiaan” pengundi-pengundi ini, kerana tanpa mereka peluang untuk BN menang amat tipis kerana trend pengundi dibandar-bandar kini mulai berubah.

Sudah tiba masanya untuk kerajaan khususnya kerajaan BN membalas budi para pengundi luar Bandar dengan menyediakan kemudahan asas yang setaraf dengan yang dinikmati oleh penduduk dibandar-bandar. Kerajaan kini seharusnya lebih fokus dan mengutamakan project penyediaan kemudahan asas seperti, bekalan air, bekalan electric, klinik, sekolah dan sebagainya untuk penduduk dikawasan pedalaman dan bukannya hanya menabur janji ketika meriah undi.

Kemudahan yang bakal disediakan pula janganlah umpama melepas batuk ditangga. Ianya harus dilakukan dengan sebaik mungkin dan diselenggara dengan lebih efisien. Seandainya kerajaan terus menerus mengabaikan kesetiaan para pengundi dari kawasan pedalaman, saya tidak akan merasa terkejut jika pola undian para pengundi dari kawasan pedalaman suatu masa nanti akan berubah….

Bagi mangsa tragedi, saya berharap agar anda semua tabah dalam menghadapi musibah ini, manakala takziah saya ucapkan kepada keluarga mangsa yang terkorban, Semoga Roh mereka diBerkati Tuhan…

betul

No comments:

Post a Comment