YOUR EYE WILL NEVER LIE, KEEP IT OPEN TO SEE THE TRUTH...

Friday, August 20, 2010

Musuh Sebenar Umat Melayu

Dari YB Azmin Ali

Politik yang membakar sentimen perkauman boleh sahaja diibaratkan sebagai “low morale and uncharismatic profession”; ungkapan yang sering disebutkan oleh Anwar Ibrahim tatkala beliau memimpin ABIM lebih 30 tahun lalu.

Benteng terakhir Umno sebagai parti tunjang Barisan Nasional (BN) ialah dengan menyalakan bara sentimen di kalangan orang Melayu.
Media perdana saban hari membayangkan kononnya Keadilan dan Pakatan Rakyat mengkhianati kepentingan orang Melayu.

Ini ditambah dengan provokasi untuk melaga-lagakan pimpinan Pakatan Rakyat dengan Raja-Raja Melayu.Walhal, musuh sebenar yang patut ditentang bukanlah mana-mana Sultan, tetapi dua tiga kerat pemimpin elit Umno.
Soal salah guna kuasa, rasuah dan kecurangan terhadap amanah kalangan pemimpin elit Umno ditutup sebelah mata.

Umno memekik agar orang Melayu—sebagai kaum majoriti di negara ini—bersatu, bersatu, bersatu.

Tetapi persoalannya, bersatu untuk apa?

Reformasi juga menyerukan perpaduan, termasuk kepada umat Melayu.

Namun pada masa sama, dokongan semua rakyat jelata tanpa mengira kaum, agama mahupun ras penting untuk menjayakan agenda perubahan.

Apakah asas kepada jeritan perpaduan Melayu ini?

Kita tidak rela kalau perpaduan bangsa hanya untuk mengizinkan pimpinan elit Umno dan sang penguasa berterusan menggunakan kuasa mereka mengamal rasuah dan memperkaya diri sendiri.

Seandainya umat Melayu termakan umpan dan bersatu menyokong kecurangan sedemikian rupa, maka di hujung jalan kelak, musibah akan melanda bangsa dan negara ini.

Lihat sahaja bagaimana Hitler di Jerman dahulu, yang menyeru bangsanya untuk bersatu, tetapi beliau menggunakan kesempatan itu untuk menindas dan membunuh kaum lain.

Keterlanjuran diktator seperti Hitler adalah antara unsur yang menyumbang kepada tercetusnya Perang Dunia.

Begitu juga perpaduan yang diseru atas nama ideologi; sama ada di Rusia, China, di negara-negara Blok Timur di Eropah dan beberapa negara Latin Amerika; kesatuan rakyat yang akhirnya kembali membinasakan rakyat.

Perpaduan dan penyatuan sama sekali tidak boleh digunakan untuk perkara yang akhirnya mengongkong kerana kongkongan adalah hal yang bertentangan dengan jaminan Tuhan bahawa setiap manusia itu dilahirkan dengan maruah yang perlu dijamin.

Di antara laungan perpaduan Melayu dan senda politik perkauman ala-Utusan Malaysia, adalah bahawa orang Melayu tertindas dan merintih di negeri sendiri selama lebih separuh abad.

Kita bertambah sayu dan marah dengan berita bagaimana lebih 700 peneroka Felda mendakwa ditipu hasil jualan kelapa sawit sehingga mereka akhirnya mengemukan saman terhadap Felda.

Setiap seorang daripada mereka pada tahun 2008 sahaja dilaporkan kerugian sehingga RM20 ribu!

RM20 ribu mungkin bukan jumlah yang banyak kepada Ketua Bahagian ataupun Ketua Cawangan Umno. Jumlah itu juga terlalu kecil kepada bapak-bapak Menteri, bahkan terlalu kecil untuk Timbalan Perdana Menteri apatah lagi Perdana Menteri.

Namun, sejumlah RM20 ribu itu terlalu besar jumlahnya kepada peneroka yang meneroka hutan bergadai nyawa sehingga terbentang ladang kelapa sawit yang memberikan keuntungan jutaan ringgit kepada Felda.

Siapakah peneroka-peneroka ini? Bukankah kesemua di antara mereka adalah orang Melayu?

Arakian musuh orang Melayu akhirnya bukan kaum Cina ataupun India tetapi pemimpin Melayu Umno yang korup.

Apakah umumnya Melayu yang juga Muslim dapat disanggah perintah Allah S.W.T. dalam surah al-Hujurat, ayat 13 yang menjelaskan bahawa kepelbagaian kaum dan bangsa itu juga adalah tanda kebesaran Allah S.W.T.?

Maksud firmanNya: “Wahai manusia sesungguhnya kami jadikan kamu lelaki dan perempuan dan kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu kenal-mengenal. Sesungguhnya sebaik-baik kamu di sisi Allah ialah yang paling bertakwa di antara kamu.”

Kita bersyukur apabila mutakhir ini umumnya orang Melayu nampaknya cukup matang dan tidak mudah terperangkap dengan polemik diskaun perumahan Bumiputera 7 peratus untuk belian hartanah dan rumah mewah.

Pelbagai lagi inisiatif dan subsidi yang sebenarnya masih dikurniakan pemerintah kepada golongan kaya tanpa mengira bangsa dan keturunan.

Malang seribu kali malang apabila dalam masa sama, subsidi kepada rakyat dihakis sehinggakan ayam dan gula di dapur juga semakin mahal.

Sebaliknya, yang harus dibicarakan adalah rumah yang mampu dimiliki rakyat pada harga yang munasabah yang memberikan keselesaan kepada rakyat marhaen yang sudah pasti melibatkan majoriti umat Melayu.

Lihat sahaja bagaimana kualiti rumah untuk rakyat miskin dibina tanpa menitikberatkan kualiti hidup rakyat.

Dapurnya sempit, kamar tidurnya bersiling rendah, bilik mandinya dipasang dengan jubin yang tidak berkualiti, tiada padang permainan dan jumlah rumah yang terlalu padat.

Ini adalah realiti sebenar di hampir setiap bandar dan kota di negara ini.

Kesempitan dan himpitan hidup yang tertimpa kepada majoriti Melayu berlaku tatkala tanah dan kawasan strategik di kota-kota diserahkan kepada tauke-tauke dan kroni.

Justeru itu, gaya politik yang memainkan api sentimen perkauman hanya sebagai gaya politik yang seperti diungkapkan Anwar sebagai “bermoral rendah dan tidak berkarismatik.”

Namun secara konsisten dan perlahan-lahan, orang-orang Melayu sendiri akan menghumban sang penguasa yang mengakibatkan hidup anak watan semakin melarat.

Lima puluh tahun adalah tempoh berkuasa yang terlalu lama bagi mereka.

Cukuplah.

====================================================
PURA
Syabas YB Azmin Ali. Artikel ini bukan sahaja sangat menarik malah isi kandungannya juga sangat mudah untuk difahami.

Isu yang diutarakan ini juga bukan sahaja hanya melibatkan kaum Melayu tetapi kaum kaum lain juga turut mengalami fenomena yang serupa termasuklah kaum Dayak.

Saban hari kita sering mendengar para pemimpin melaung laungkan penyatuan kaumnya demi untuk kemajuan serta keharmonian kaum tersebut, tetapi hakikatnya, merekalah yang sebenarnya membawa kepada kepincangan dalam kaum mereka sendiri.

Masih relevankah untuk mereka menggunakan isu isu seperti ini bagi meraih sokongan dari kaum mereka sedangkan pada waktu yang sama kita sedang berusaha untuk memahami serta mengadaptasikan Gagasan 1Malaysia? Rasanya rakyat sudah cukup bijak untuk membuat penilaian mereka sendiri.



betul

No comments:

Post a Comment