YOUR EYE WILL NEVER LIE, KEEP IT OPEN TO SEE THE TRUTH...

Tuesday, September 11, 2012

Baram Oh Baram

Kawasan Baram atau lebih dikenali sebagai Telan Usan memang tidak pernah sepi dari pelbagai isu. Malah kerusi DUN kawasan ini suatu ketika pernah lepas dari genggaman BN. Kini sebelum menjelang PRU-13, sekali lagi kawasan Telang Usan mempunyai isu yang tidak kurang hangatnya iaitu isu “Pembinaan Empangan Baram”

Empangan Baram merupakan salah satu dari “begitu banyak” empangan yang dibakal dibina diseluruh Sarawak. Empangan yang bakal dibina ini terletak diantara Sungai Patah dan Sungai Kahah disebelah kiri manakala Sungai Hit disebelah kanan. Ianya kira-kira 250km dari Bandaraya Miri dan dikhabarkan akan berdiri setinggi 162m manakala kawasan takungannya pula dikatakan mencecah kawasan seluas 39,000 hektar apabila siap kelak.

Menurut pihak-pihak yang terlibat dengan perancangan pembinaan empangan ini, pembinaan empangan ini merupakan satu bentuk pembangunan yang dibawa oleh kerajaan untuk penduduk Hulu Baram. Empangan ini kelak bakal menjadi penjana kepada perkembangan ekonomi Sarawak khasnya dikawasan Hulu Baram. Ianya dikatakan akan dapat menarik pelaburan serta mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan secara langsung dapat menaikan taraf kehidupan penduduk di Hulu Baram. Pendek kata pembinaan empangan ini akan memberi pelbagai manfaat khasnya kepada penduduk Hulu Baram. Malah ada kata-kata yang menyamakan “Pembinaan Empangan Baram” oleh Kerajaan ini dengan anugerah dari “TUHAN”. Sejauh manakah kebenaran kenyataan ini??????

Namun disatu sudut, pembinaan empangan Baram dilihat akan membawa lebih banyak kesan negatif bukan sahaja kepada alam sekitar bahkan kepada penduduk disekitar daerah Baram khusunya penduduk yang terlibat secara langsung dengan pembinaan empangan ini.

Dari sudut alam sekitar, pembinaan empangan ini dikatakan boleh merosakkan system ekologi bumi dikawasan tersebut and memusnahkan hidupan alam, flora serta fauna. Mana tidaknya jika kawasan seluas 39,000 hektar yang penuh dengan kehidupan alamnya harus dimusnahkan. Lebih memburukkan lagi apabila kira-kira 20,000 penduduk yang terdiri dari etnik Kenyah, Kayan dan Penan harus dipindahkan ke penempatan semula dan terpaksa melihat kawasan perkampungan mereka tenggelam kedasar empangan ini.

Maka tidak hairanlah SAVE Sarawak’s Rivers Network telah membantah cadangan pembinaan empangan ini. Persatuan Bukan Kerajaan ini telah mengadakan satu tunjuk perasaan menentang pembinaan empangan ini ketika upacara “Mayau Dalleh” yang diadakan ditapak empangan tersebut. Upacara “Mayau Dalleh” merupa upacara tradisi yang seharusnya diadakan bagi membersihkan kawasan tanah serta penduduk sesuatu kawasan selepas ditimpa bencana alam.

 Tapi peliknya, pihak ini pula telah mengadakan upacara “Mayau Dalleh” sedangkan kawasan ini tidak mengalami sebarang bencana alam…mungkin “bencana” akan datang selepas empangan ini dibina………..

Bagi penduduk tempatan, biasalah, ada pihak yang mengalu-alukan pembinaan empangan ini, namun disudut lain, ramai juga yang membantah. Masing-masing mempunya sebab atau alas an yang tersendiri. Keadaan yang pro dan kontra dikalangan penduduk ini kini dikaitkan pula dengan parti politik, bagi yang menyokong mereka dianggap penyokong BN (Parti Pemerintah) manakala yang membantah dianggap sebagai penyokong PR (Parti Pembangkang) malah dianggap sebagai menentang pembangunan.

Sebagai seorang penduduk yang berasal dari Baram dan boleh dianggap menyebelahi pihak yang membantah, saya rasa adalah tidak adil untuk menuduh pihak yang menentang pembinaan empangan ini sebagai “Menentang Pembangunan”. Secara amnya, semua orang menginginkan pembangunan, tiada manusia yang ingin terus hidup dalam kemunduran. Selama ini pun, mereka-mereka ini telah menerima baik apa jua bentuk pembangunan yang telah dibawakan oleh kerajaan ke Hulu Baram malah mereka-mereka ini jugalah yang telah menentukan kejayaan BN dikawasan Hulu Baram walaupun terdengar suara-suara keluhan yang tidak berpuas hati.

Pihak kerajaan (BN) seharusnya mencari tahu kenapa mereka-mereka ini tiba-tiba membantah dan selanjutnya cuba untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik bagi memberi manfaat kepada kedua-dua pihak. Saya tidak hairan melihat bantahan dari penduduk tempatan kerana berpandukan kepada apa yang telah terjadi kepada mereka-mereka yang terlibat dengan pembinaan empangan sebelumnya, penduduk tempatan bukan saja kehilangan kampong halaman, malah apa yang dijanjikan oleh kerajaan untuk mereka sampai kehari ini pun belum tertunai kesemuanya. Sepertinya, cuma indah khabar dari rupa.

Sebagai contoh,pembinaan empangan Bakun, Murum serta Batang Ai, masih meninggalkan isu yang sampai kesaat ini belum dapat diselesaikan. Maka adalah tidak salah jika terdapat masyarakat Baram yang membantah kerana mereka tidak mahu masalah yang sama akan menimpa mereka. Mereka cuma ingin bersikap lebih berhati-hati dan tidak mahu pengorbanan mereka menyerahkan kampung halaman mereka yang mereka warisi sejak sekian lama menjadi sia-sia. Mereka mempunyai HAK untuk bersuara kerana kampung halaman mereka adalah jiwa dan raga mereka. Rayuan mereka harus didengar.

Namun, jika kerajaan (BN) tidak ambil peduli dengan rayuan mereka, maka satu-satunya jalan ialah dengan menggunakan kuasa yang mereka ada pada PRU-13 nanti. Mereka mempunyai kuasa ditangan mereka untuk menunjukkan kepada wakil BN pintu keluar.

BARAM harus bersuara. BARAM harus berdiri tegak menuntut hak. BARAM harus mengeluarkan bunyi deruman aliran sungainya yang deras yang boleh menghanyutkan mereka yang tidak peduli ini jauh ke muara dan jika boleh jauh ke lautan luas. BARAM oh BARAM…hanya kamu yang bisa menentukan sama ada deruan deras aliranmu akan terus kedengaran……………….………..

betul

No comments:

Post a Comment